Lim Chi Wing menebus kehampaan 2014 apabila bergelar juara saingan perseorangan lelaki GP Sirkit Kebangsaan 2016 manakala pasangan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mendominasi acara beregu campuran.

Aksi perseorangan lelaki menyaksikan Chi Wing berdepan finalis tahun lalu, Chong Yee Han.

Persembahan Chi Wing mencetus kejutan apabila dia memberikan mata demi mata kepada lawannya untuk tewas mudah 4-21.

Dia mempamer kebangkitan pada set kedua, hampir dikecewakan Yee Han tetapi mampu meraih kemenangan 23-21.

Momentum set penentuan kemudian memihak kepada Chi Wing apabila menutup pertemuan menerusi kemenangan 21-13 untuk gelaran tunggalnya tahun ini.

"Dalam set pertama, saya gagal mendapat rentak, jadi saya cuba bangkit perkemaskan permainan dalam set kedua.

"Secara keseluruhan, saya tidak boleh terlalu gembira kerana masih ramai pesaing hebat yang belum saya hadapi," kata Chi Wing.

Sementara itu, Kian Meng dan Pei Jing hanya memerlukan 27 minit untuk mengetepikan cabaran Hoo Pang Ron-Shevon Lai.

Kian Meng-Pei Jing yang baharu menjejak kelompok 10 terbaik dalam ranking dunia, membuktikan mereka berada di kelas tersendiri.

Kemenangan straight sets 21-14, 21-10 memberikan gelaran peringkat kebangsaan sulung buat gandingan ini.

"Pihak lawan kami tadi merupakan rakan sepasukan kami, jadi kami mengetahui kelemahan masing-masing. Kami cuba menggunakan kesempatan itu untuk menang," jelas Pei Jing.

Setuju dengan kenyataan Pei Jing, Kian Meng menambah: "Apa yang penting hari ini adalah beraksi dengan corak permainan yang betul.

"Sepertimana yang Pei Jing perkatakan, mereka mengenali corak kami, jadi penting untuk kami beraksi mengikut perancangan yang betul."