Kehadiran mereka bukan sekadar untuk merebut tempat dalam skuad Piala Thomas Malaysia tetapi untuk berentap dengan perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Tiada ada jaminan jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan diterjemahkan menjadi tiket percuma buat Daren dan Joo Ven ke Piala Thomas sebaliknya kedua-dua memiliki pendapat mengenai kehadiran mereka ke dalam pasukan ketika ini.

Mungkin juga dengan menewaskan Zii Jia dalam sesi latihan secara konsisten setiap hari berupaya meyakinkan barisan kejurulatihan untuk membawa mereka ke Denmark berbanding bakat muda yang lain.

Daren menjelaskan, "Kami tidak boleh membandingkan siapa yang lebih senior dalam pasukan, perkara paling utama adalah semua berusaha untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih baik.

"Saya berasakan jika bergantung kepada pengalaman, ia tidak mencukupi untuk saya mendapatkan tempat ke Piala Thomas, kami perlu berusaha dan membuktikan kemampuan dalam sesi latihan."



Bagi Joo Ven pula, "Zii Jia ketika ini berada di kedudukan yang tinggi dalam ranking dunia tetapi saya dan Daren akan cuba memberikan yang terbaik bagi memastikan pasukan ini bersedia menghadapi Piala Thomas.

"Saya berharap untuk mendapatkan tempat ke Denmark, ia merupakan impian saya beraksi dalam Piala Thomas. Prestasi dalam sesi latihan dan perlawanan ujian sangat penting untuk mendapatkan tempat."