Pemain para negara, Cheah Liek Hou, mempertaruhkan latihan bersama bekas Olimpian, Rashid Sidek, serta beberapa pemain ternama dunia dalam usaha meraih gelaran juara dunia ketujuhnya menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland, bermula 20 Ogos ini.

Dia sedar sudah kempunan kejuaraan dunia acara perseorangan lelaki kategori SU5 sejak kali terakhir memenanginya pada 2017 di Ulsan, Korea Selatan.

Malah, kekangan kewangan untuk beraksi dengan lebih kerap dalam kejohanan antarabangsa tahun ini juga menjadikan Liek Hou lebih bernafsu untuk menggenggam kejuaraan sulungnya bagi 2019.

Atas faktor itu, dia mengambil keputusan berlatih dengan pemain normal seperti perseorangan wanita Amerika Syarikat, Zhang Beiwen, dan beberapa pemain lain yang turut dalam persiapan ke Kejohanan Dunia sambil dipantau Rashid.

"Saya rasa rakan sepelatih di sini cukup kuat untuk kemampuan yang dimiliki. Saya membuat pilihan ini dan memberitahu Majlis Sukan Negara (MSN) serta pengurus saya. Saya mahu ke sini untuk berjuang," katanya.

"Buat Liek Hou, rakan sepelatih di sini lebih bagus untuknya. Banyak kebaikan boleh diraih dalam meningkatkan permainan serta kekuatan mental," tambah Rashid.

Kejayaan meraih gelaran juara dunia tahun ini juga mungkin meletakkan Liek Hou kembali menjadi pemain nombor satu dan mengukuhkan lagi pemburuannya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 memandangkan dia kini jatuh ke tangga ketiga bagi acara perseorangan lelaki SU5.

"Saya harap dapat menang kejuaraan dunia ini. Mata yang ditawarkan memang banyak dan lebih tinggi berbanding kejohanan biasa."