Li-Ning lanjut kontrak Peng Soon-Liu Ying

Oleh Bernama 4 April 2020 1765
Li-Ning lanjut kontrak Peng Soon-Liu Ying
Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menerima suntikan semangat untuk meneruskan misi ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 apabila jenama sukan terkenal Li-Ning, setuju melanjutkan kontrak penajaan mereka selama setahun.

Pengedar tunggal Li-Ning di Malaysia, Sunlight Sports Pte Ltd menerusi Pengurus besar, Simon Soh, berkata pihaknya memutuskan untuk meneruskan kontrak berkenaan selepas melihat kemampuan gandingan Peng Soon-Liu Ying mencapai keputusan yang positif dalam kejohanan antarabangsa sejak Februari tahun lalu.

“Mereka telah menunjukkan profesionalisme yang baik sejak menandatangani perjanjian dengan kami dan ia merupakan sebab kami memutuskan untuk melanjutkan kontrak penajaan mereka untuk satu tahun lagi supaya mereka boleh memberikan tumpuan kepada persediaan ke  Sukan Olimpik Tokyo tahun depan,” katanya, dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu mengumumkan pengunduran mereka daripada pasukan kebangsaan pada Disember 2018 dan meneruskan kejohanan antarabangsa mereka di bawah penajaan Li-Ning serta meraih kejuaraan Masters Thailand dan Terbuka New Zealand pada Januari dan Mei tahun lalu.




Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan temasya Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan, iaitu tepat setahun dari tarikh asal yang dijadualkan pada 24 Julai tahun ini susulan pandemik COVID-19 yang melanda global kini.

Sementara itu, gandingan yang menduduki ranking ketujuh dunia itu melahirkan rasa berbesar hati dan bersyukur atas sokongan dan kesediaan Li-Ning untuk melanjutkan kontrak mereka.

“Li-Ning bersedia menyokong kami melalui masa sukar ini dan saya amat berterima kasih untuknya. Saya akan meneruskan perjuangan dan membayar balik kepada Li-Ning dengan prestasi cemerlang kami,” kata Peng Soon. 

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen