Kelemahan mental dan kurang semangat menjadi punca pemain negara beraksi hambar seperti yang dikenal pasti hasil bedah siasat awal dua Kejohanan Terbuka Thailand selain Kejohanan Jelajah Akhir BWF bulan lalu, kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wang Choong Hann.

Katanya, usaha peningkatan ketahanan mental dan semangat pemain menjadi keutamaan barisan kejurulatihan negara dalam tempoh sebulan ini sebelum pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo akan bermula bulan depan.

Bagaimanapun, BAM akan mengadakan satu lagi sesi bedah siasat dalam meneliti beberapa aspek lain yang perlu diperbaiki.

"Saya rasa sesetengah pemain tidak mempamerkan semangat yang cukup. Ada yang terganggu dengan tekanan, jadi ada beberapa faktor yang lebih individu daripada segi psikologi, ada beberapa faktor yang perlu disiasat dengan lebih mendalam dan terperinci," katanya kepada Nadi Arena.

"Kami akan menelitinya secara individu kerana masing-masing mempunyai masalah yang berbeza."

Choong Hann turut mengesahkan skuad kebangsaan akan menghadapi dua kejohanan kelayakan bulan depan, iaitu Kejohanan Terbuka Switzerland dan Terbuka Jerman, manakala Kejohanan Seluruh England tidak menawarkan sebarang mata kelayakan ke Tokyo.

"Mungkin ada enam atau tujuh lagi (kejohanan kelayakan) termasuk Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman tetapi tidak termasuk Kejohanan Seluruh England.

"Selain itu ada Masters Malaysia, Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura, Masters Indonesia dan mungkin kejohanan di India dan Kejohanan Individu Asia," katanya lagi.