Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Kuching, Sarawak sebagai destinasi bagi saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2017.

Ketiadaan venue utama, Stadium Putra, Bukit Jalil yang sedang menjalani proses menaik taraf bagi Sukan SEA 2017 menyaksikan BAM sebelum ini menjadikan Stadium Negara sebagai pilihan utama penganjuran Terbuka Malaysia.

Tetapi faktor keusangan Stadium Negara memaksa BAM mencari alternatif lain sehingga Stadium Perpaduan Kuching yang pernah menganjurkan Grand Prix Emas Masters Malaysia pada 2015 menjadi pilihan ahli majlis BAM.

"Kuching dipilih memandangkan ia mendapat sokongan yang kuat daripada kerajaan negeri yang juga telah bersetuju menyalurkan peruntukan kewangan untuk penganjuran Terbuka Malaysia.

"Ini adalah salah satu perkara yang diberi perhatian oleh ahli majlis untuk menyokong permohonan tersebut," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sementara itu, BAM turut mengesahkan perlantikan Presiden Persatuan Badminton Negeri Johor, Mat Rasid Jahlil, sebagai pengurus pasukan Sukan SEA 2017.

Dalam misi membantu Malaysia muncul juara keseluruhan, BAM menyasarkan untuk menyapu bersih setiap emas yang ditawarkan dalam acara badminton.

Mesyuarat Ahli Majlis BAM hari ini turut mengesahkan Astro Arena sebagai penyiar rasmi baru bagi tempoh lima tahun, bermula 2017.