Pemain badminton perseorangan wanita meningkat naik, S. Kisona, berharap pingat emas dalam Sukan SEA Filipina dapat membantu dirinya keluar daripada bayang-bayang Soniia Cheah dan Goh Jin Wei untuk menjadi sandaran utama Malaysia dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi.

Sebelum ini, dia kerap dihantar beraksi dalam saingan bertaraf rendah seperti Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa.

Setakat ini, rekod cemerlangnya adalah meraih dua kejuaraan dalam tahun ini ketika saingan Terbuka Hellas di Greece, Ogos lalu serta saingan Antarabangsa Sydney, Australia sebulan kemudian.

Namun, bergelar perseorangan wanita Malaysia yang keenam memenangi emas di pentas Sukan SEA, Kisona berharap akan diberi pendedahan beraksi dalam saingan lebih tinggi mengikut kalendar pertandingan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Jurulatih sentiasa percayakan saya walaupun Jin Wei dan Soniia yang sering menyertai kejohanan lebih besar. Prestasi saya tidak konsisten tetapi pernah diminta agar dapat mengekalkan persembahan dalam usaha untuk memberi motivasi," katanya.

Misinya untuk 2020 juga adalah menaikkan ranking dunia ke dalam kelompok 50 terbaik bagi membolehkan dia beraksi di pentas saingan lebih tinggi.

"Itu bergantung kepada jumlah kejohanan yang saya sertai. Jika saya menyertai banyak saingan berserta sasaran keputusan, ia boleh membantu untuk meningkatkan ranking dengan lebih cepat," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, membidas kritikan pihak luar yang mempertikaikan tiga emas yang diraih pemain badminton negara dalam Sukan SEA Filipina adalah disebabkan ketiadaan pemain ternama lawan yang tertumpu kepada saingan Jelajah Akhir BWF 2019 di Guangzhou, China.

Malaysia memungut emas menerusi Lee Zii Jia, Kisona dan juga pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Bagi Norza, dakwaan yang dilemparkan itu ternyata tidak berasas kerana pemain sudah memberikan aksi terbaik, antaranya Kisona yang mencipta kejutan menundukkan lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Meskipun tidak menyatakannya, kenyataan Norza itu harus merujuk kepada kritikan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, yang seakan-akan merendah-rendahkan pencapaian penyumbang emas badminton negara di Filipina.

"Untuk seseorang itu mengatakan bahawa negara lain tidak menghantar pemain ternama, perkara itu boleh kami nafikan kerana jika dilihat, ada juga nama besar beraksi di Manila," katanya.