Kisona pernah berjalan 4 kilometer ke latihan

Oleh Staff Writer 22 Julai 2020 116
Kisona pernah berjalan 4 kilometer ke latihan
Pemenang pingat emas badminton perseorangan wanita Sukan SEA Filipina 2019, S. Kisona, melalui pelbagai cabaran untuk bergelar pemain profesional.

Dia sanggup berjalan kaki sejauh 4 kilometer dari rumah ke perhentian bas di Jelebu, semata-mata mahu berlatih badminton di Seremban sehingga trauma dengan kepenatan yang dihadapinya itu sejak berusia 7 tahun.

Pengembaraan luar biasa bersama ibu dan ayah tercinta, S. Valarmathi dan A. Selavaduray, dikongsi bersama wartawan, Syakirah Zulkifly, dalam Nadi Arena hari ini.



"Kami tinggal di pekan kecil bukannya di bandar, jadi untuk menjalani latihan di Seremban agak sukar kerana saya perlu berjalan sejauh 4 kilometer ke perhentian bas untuk ke Seremban.

"Semasa menunggu bas untuk pulang ke rumah, kadang-kadang saya berasa sangat penat kerana latihan tamat pada jam 1 tengah hari dan bas hanya tiba pada jam empat atau lima petang.

"Kami tiada pilihan kerana semasa itu bapa saya bekerja sepanjang 24jam.

"Ibulah yang berkorban untuk saya. Bagi saya, kerja keras dan semangat mereka telah membawa saya sampai ke tahap tertinggi.

"Semasa zaman persekolahan, kami membayar upah kepada jiran untuk menghantar saya ke tempat latihan kerana latihan bermula jam 3 petang dan sesi persekolahan habis pada  jam 1.20 petang. 

"Kami takut tidak sempat untuk ke sesi latihan sekiranya kami menaiki bas ke Seremban.

"Semasa pulang, kami bertanya kepada sesiapa yang boleh menumpangkan kami ke rumah.

"Pernah kami naik van surat khabar dan lewat sampai ke rumah disebabkan van tersebut behenti di setiap rumah untuk menghantar surat khabar.

"Saya sangat letih dan saya menangis semasa itu tetapi saya tiada pilihan.

"Itu adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh saya," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen