Beregu campuran kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, meraih gelaran kedua di peringkat antarabangsa apabila muncul juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Hong Kong 21-16, 22-20, dalam perlawanan akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing, yang melakukan kejutan dengan menjuarai Terbuka Vietnam pada Julai lalu, turun selaku pilihan ketiga kejohanan berdepan Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Pada set pertama, pasangan Malaysia ini tidak berdepan masalah untuk menang 21-16.

Pasangan lawan melakukan kebangkitan dalam set kedua untuk memimpin perlawanan. Ditambah dengan kesilapan yang kerap dilakukan Kian Meng, pasangan Hong Kong itu mendahului 16-8.

Bagaimanapun, Kian Meng dan Pei Jing kemudian mempamerkan kebangkitan menakjubkan apabila mengejar mata demi mata untuk akhirnya mengikatkan kedudukan 19-19.

Perlawanan makin menarik apabila pasangan Hong Kong itu mendahului 20-19 tetapi Kian Meng-Pei Jing sekali lagi menyamakan kedudukan sebelum memungut dua mata akhir untuk menamatkannya 22-20.