Kian Meng-Pei Jing intai keputusan positif di Dubai 

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2017 242
Kian Meng-Pei Jing intai keputusan positif di Dubai 
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berupaya menutup musim 2017 dengan penuh makna apabila layak ke pentas Siri Super Final di Dubai yang secara tidak langsung menjadi motivasi buat mereka mengekalkan momentum sebagai beregu campuran nombor satu negara tahun depan. 

Kian Meng-Pei Jing menjadi wakil di samping Datuk Lee Chong Wei ke Dubai, pertengahan bulan ini. 

Mereka layak ke aksi penutup musim ini berdasarkan kedudukan lapan terbaik dalam ranking Siri Super di belakang tiga pasangan China, dua beregu Indonesia dan masing-masing satu beregu dari Hong Kong serta England. 

"Kami bermain bagus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Selepas itu, saya sendiri sukar menerima prestasi kami dalam beberapa kejohanan seperti di China dan Hong Kong kebelakangan ini.

"Mungkin kami tidak begitu tertekan selama enam bulan pertama. Masalah kami bukanlah dalam soal latihan, sebaliknya semasa pertandingan. Kami perlu mencari jalan penyelesaiannya," kata Kian Meng. 
 
Tahun ini merupakan ujian buat Kian Meng sambil mendedahkan betapa pentingnya gandingannya dengan Pei Jing memperoleh keputusan positif di Dubai nanti selain kemahuan untuk kekal sebagai beregu campuran terbaik Malaysia yang turut diidamkan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. 

"Kami masih perlu membuktikan kemampuan dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk mengambil tempat Peng Soon-Liu Ying," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen