Berlatih berseorangan atau bersama rakan sepasukan pastinya jauh berbeza.

Apatah lagi, bagi pemain beregu yang menghabiskan lebih banyak masa bersama bagi mendapatkan keserasian dan selepas sekian lama bergandingan, keserasian mampu menjalinkan persahabatan seperti bekas pasangan wanita negara, Woon Khe Wei dan Vivian Hoo.

Khe Wei yakin bekas gandingannya itu masih boleh berbakti kepada badminton Malaysia meskipun Vivian kini berada di dalam dilema persaraan.

"Saya gembira dan sangat bangga dapat menikmati tempoh selaku pasangan terbaik ketika itu. Saya rasa Vivian adalah pasangan saya paling lama. Gembira, kerana dapat berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya.

"Sepatutnya tahun ini ada Olimpik tetapi terganggu kerana Covid-19. Jadi, saya rasa jika Vivian masih mempunyai harapan untuk layak, dia akan cuba yang terbaik. Kemudian baru fikir sama ada bersara atau teruskan."