Khe Wei mahu terus berganding dengan Vivian

Oleh Penulis Jemputan 4 Disember 2017 327
Khe Wei mahu terus berganding dengan Vivian
Pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei, masih menaruh kepercayaan bahawa pasangan sedia ada, Vivian Hoo, merupakan gandingan terbaik di sebalik prestasi kurang konsisten mereka di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, timbul desas-desus rombakan besar bakal berlaku dalam struktur kejurulatihan dan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM),  dengan nama pasanganVivian dan Khe Wei turut dikaitkan.

Mereka tetap dikekalkan dengan syarat harus membuktikan keupayaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Bagaimanapun, misi untuk menuai emas di laman sendiri gagal dan Khe Wei secara jujurnya masih lagi mahu bergandingan dengan Vivian dan mengharapkan mereka mampu untuk terus bertahan pada 2018.

"Saya berharap dapat bermain dengan Vivian kerana dia merupakan antara pemain yang terbaik dalam skuad badminton negara. Kami berharap untuk mencari rentak semula pada tahun hadapan," katanya.

Satu-satunya kejayaan antarabangsa Vivian dan Khe Wei tahun ini adalah Grand Prix Emas Terbuka New Zealand, sekaligus menamatkan kemarau lapan tahun selepas selepas kali terakhir menang GP Emas dalam Terbuka Indonesia 2009.

Tahun 2018 menghadirkan cabaran yang lebih getir, antara yang menjadi keutamaan sudah pasti Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan yang juga kelayakan untuk skuad Malaysia ke Piala Uber.

"Kami berpeluang untuk mendapatkan tempat ke Piala Uber, buat masa ini kami akan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut," kata Khe Wei lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen