Kepulangan Datuk Lee Chong Wei pasca rawatan kanser di Taiwan amat dinantikan Malaysia, tidak terkecuali barisan senior kebangsaan yang merindui pengaruhnya.

Spekulasi terkini berdasarkan laporan media antarabangsa menyatakan Chong Wei akan pulang seawal Ahad ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap kepulangan ikon negara tersebut hanya apabila memperoleh lampu hijau daripada Chong Wei sendiri.

Meskipun menantikan kehadiran semula Chong Wei ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, rakan sepasukan, terutama tonggak senior, lebih mahukan dia pulih sepenuhnya daripada terburu-buru kembali ke gelanggang kompetitif.

"Kelibat Chong Wei akan mencetuskan semangat kami, dia menghilangkan kekhuatiran kami.

"Yang penting adalah kesihatannya terlebih dahulu. Selepas fizikalnya pulih, barulah dia boleh memikirkan langkah seterusnya," kata pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon.

Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, turut sependapat dengan memberitahu: "Kami merindui kelibatnya.

"Kalau dia pulang, saya harap dia dalam keadaan sihat. Dia sudah cukup (puas) dengan kerjayanya tetapi bagi dia sendiri, saya belum pasti sama ada dia mahu meneruskan kerjayanya.

"Apapun, kesihatan perlu dititikberatkan," ujarnya.