Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, masih terluka dengan kenangan kempen Sukan SEA Filipina tetapi bukan disebabkan kejayaan S. Kisona muncul sebagai permata baru skuad kebangsaan apabila memenangi pingat emas dalam temasya itu.

Soniia ke Filipina dengan misi untuk muncul juara ketika ketiadaan perseorangan pilihan seperti Ratchanok Intanon tetapi kecederaan ketika acara berpasukan menyaksikan dia terpaksa akur dengan penyingkiran awal dalam saingan individu.

Soniia -- selaku naib juara edisi Kuala Lumpur 2017 -- tidak terdaya untuk mencabar emas yang akhirnya menjadi milik Kisona.

"Saya mengalami kecederaan buku lali kiri ketika acara berpasukan dan ketika pusingan awal, saya berdepan masalah paha.

"Ia lebih sakit di penghujung aksi. Sudah tentu ia menyedihkan. Saya gagal mendapatkan pingat buat negara tetapi ia sudah berlaku. Saya harus tumpukan perhatian untuk saingan tahun depan," katanya.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu tidak iri hati dengan kejayaan rakan sepasukannya, Kisona, yang bakal diberikan perhatian oleh ketua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock.

Sebaliknya dia berasakan ia bakal menjadi persaingan yang diperlukan dalam ketiadaan Goh Jin Wei yang masih menjalani pemulihan pembedahan usus dan Lee Ying Ying yang dibelenggu prestasi tidak menentu.

"Sebenarnya, saya fikir dia banyak berlawan. Apabila beraksi, tiada apa yang merugikannya. Namun, dia cuba menundukkan pemain dalam kedudukan lebih tinggi. Ia bagus kerana kami sudah ketinggalan dalam satu tempoh yang lama dan situasi ini menaikkan semangat seluruh pasukan," tambah Soniia.