Bekas pengurus besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh, menegaskan akan ada pulangan positif di sebalik peralihan agresif yang sedang dilalui BAM.

Ini membabitkan peletakan jawatan bekas pengarah teknikal, Morten Frost, serta kehilangan khidmat jurulatih beregu, Jeremy Gan, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Malaysia selepas memberikan surat peletakan jawatan pada 30 September lalu.

BAM di bawah kepimpinan Datuk Seri Norza Zakaria mengambil beberapa pendekatan drastik dengan tujuan memastikan skuad negara kembali ke landasan sebenar menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas melalui musim hambar pada 2017.

Walau apa pun perubahan yang dirancang BAM,sama ada suka atau tidak, jurulatih bertanggungjawab besar dalam melaksanakan misi ditetapkan.

“Bagi saya, tidak salah untuk pucuk pimpinan membawa perubahan ini. Jurulatih seharusnya mengubahsuai mengikut perubahan ini, peredaran masa ini dan bekerja keras untuk memastikan adanya keputusan cemerlang bagi skuad kebangsaan,” kata Kenny.

Beliau melihat peletakan jawatan Jeremy yang disunting Jepun untuk memperkasakan skuad beregu campuran mereka adalah sebagai sesuatu yang positif tetapi menegaskan BAM perlu membuat pelantikan tepat untuk mengembalikan prestasi skuad beregu lelaki.

Lee Wan Wah serta gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang pernah membantu Kenny -- yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia -- melaksanakan beberapa program untuk badan induk itu, disifatkan sebagai calon paling sesuai.

“Siapa pemain yang pernah mencapai kejayaan dan pernah bermain di tahap yang paling tinggi, memang mereka mempunyai kelebihan untuk menjadi jurulatih.

"Bagi saya, kalau betul niat BAM untuk mendapatkan khidmat Lee Wan Wah dan Chan Chong Meng, saya rasa itu langkah yang baik," tambah Kenny.

Difahamkan senarai calon pengganti Jeremy sudah sampai di tangan pengurusan skuad negara untuk pelantikan secepat mungkin.