"Kem Badminton Astro batu loncatan terbaik menjadi pemain cemerlang," itu antara yang diingati sebagai kenangan berharga bekas peserta Kem Badminton Astro dalam meneruskan usaha untuk menjadi pemain terbaik pada usia muda.

Kok Jing Hong dan Go Pei Kee adalah antara bekas peserta terbaik Kem Badminton Astro tahun 2013 dan 2014.

Mereka kini dalam persiapan untuk menyertai Kejohanan Badminton Jemputan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang menyaksikan pemain muda daripada kelab luar, termasuk Singapura, turut beraksi.

Jing Hong yang berusia 15 tahun beranggapan kem berkenaan banyak memberi pendedahan yang berguna, khususnya daripada segi kemahiran dan juga disiplin.

"Saya telah belajar mengenai disiplin, ketepatan masa dan kemahiran dalam permainan," katanya.

Jurulatihnya, Mohd Najib Abdul Latif, melihat barisan pemain muda tiada masalah untuk mempertaruhkan aksi terbaik dalam kejohanan yang bakal bermula awal bulan depan.

"Setakat ini, kami mempunyai 20 pasukan yang akan mengambil bahagian yang terdiri daripada 10 pasukan bawah 15 tahun (B-15) dan 10 pasukan lagi untuk B-17.

"Selain itu, kami juga mempunyai pasukan jemputan daripada Sekolah Sukan Singapura dan kelab-kelab yang menyertai saingan Purple League," katanya.