Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mengekalkan senarai pendek pemain bagi kempen kelayakan Piala Thomas sebagai satu misteri.

Misbun turut mengesahkan pengaruh perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, akan memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mengesahkan penampilan di Bangkok, Thailand pada Mei 2018.

Misbun dalam nada bersahaja menegaskan senarai pemain berkemungkinan besar mewakili Malaysia adalah dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, , Februari depan yang juga merupakan kelayakan Piala Thomas.

Tetapi beliau menegaskan belum tiba masanya untuk mendedahkan pemain mana yang akan menggalas cabaran memastikan Malaysia tidak terlepas tiket untuk kembali merebut piala berprestij itu.

Nama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao adalah antara yang hangat dikaitkan memikul tanggungjawab itu.

“Tugas saya adalah meningkatkan mutu permainan mereka buat masa ini. Saya akan terus menilai prestasi mereka sebelum membuat keputusan akhir,” kata Misbun.

Berita pengesahan Chong Wei akan membuat penampilan dalam saingan berpasukan Asia oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga disambut baik oleh Misbun.

Kehadirannya akan memainkan peranan penting dalam membantu pemain yang cetek pengalaman untuk menghadapi cabaran luar biasa.

“Dengan usia Chong Wei yang meningkat, pengalamannya ditagih dalam saingan kelayakan Piala Thomas, apatah lagi selepas meraih kejayaan di Terbuka Hong Kong,” katanya lagi.