Tanpa sandaran pengalaman skuad perseorangan lelaki, skuad badminton negara memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala
Thomas.


Berdasarkan pemain yang ada dalam skuad kebangsaan ketika ini, hanya Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin memiliki pengalaman beraksi di pentas Piala Thomas.

Setakat ini, masih tiada lagi jawapan bagi persoalan terhadap bagaimana Malaysia akan menamatkan penantian memenangi piala itu, tetapi terlebih dahulu perlu memastikan kelayakan ke pusingan akhir di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Tanpa keselesaan ranking dunia inilah juga yang memaksa keperluan Chong Wei untuk mengetuai kelayakan Malaysia menerusi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan.

"Malaysia ternyata akan menghadapi kesukaran kerana dalam saingan kelayakan nanti, banyak pasukan yang mampu memberikan tentangan hebat kepada Malaysia," kata finalis Piala Thomas 2002, Hafiz Hashim.

Ketika Chong Wei dan Iskandar hampir pasti membarisi skuad Piala Thomas 2018 negara, masih ada dua kekosongan yang menjadi rebutan.

Pemain muda seperti Song Joo Ven, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan juga yang berstatus profesional adalah antara yang meniti di bibir Hafiz sebagai calon utama.

"Pemilihan pemain terpulang kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Chong Wei semestinya mengetuai skuad negara manakala pemain-pemain lain harus bersedia menghadapi cabaran ini," katanya.