Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, menjelaskan satu rayuan rasmi akan dikemukakan kepada Persekutuan Badminton Dunia BWF untuk melanjutkan tarikh kelayakan Olimpik Tokyo secepat mungkin.

Kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19 menyaksikan banyak kejohanan sama ada dibatalkan atau ditangguhkan di Malaysia serta benua Eropah.

Ia memberi tamparan hebat buat skuad badminton negara selepas majoriti kejohanan tersebut menawarkan mata kelayakan Olimpik.

Justeru, BAM akan menghantar rayuan rasmi kepada BWF bagi membela nasib pemain.

"Kami memang bercadang menulis secara rasmi, menghantar kepada BWF untuk memohon agar mereka boleh membuat pertimbangan, melanjutkan waktu kelayakan Olimpik memandangkan banyak kejohanan dibatalkan dan ditunda," kata Kenny.

Dalam perkembangan lain, beliau juga mengesahkan tiada penarikan diri setakat ini membabitkan pemain luar negara dalam penyertaan Terbuka Malaysia yang dijadualkan akhir bulan ini.

"Ya, kami akan meneruskan kejohanan ini. Namun, langkah pencegahan akan diambil. Kami akan cuba lakukan pendekatan terbaik."