Setelah dua tahun kemarau tanpa sebarang pemain menaiki podium dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia, pengendali negara, Kwan Yoke Meng, yakin barisan kali ini mampu mengubah situasi itu dengan membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat dalam acara individu.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara individu dalam Kejohanan Remaja Dunia adalah menerusi Goh Jin Wei yang memenangi pingat emas acara perseorangan wanita pada 2015.

Dua edisi seterusnya di Bilbao (Sepanyol) dan Jogjakarta (Indonesia), menyaksikan tiada wakil Malaysia mampu menaiki podium.

Begitupun, bagi tahun ini, Yoke Meng yakin Malaysia akan menuai hasil, apatah lagi Jin Wei dalam momentum terbaik apabila baru sahaja memenangi emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, bulan lalu.

"Jin Wei mampu mengatasi kemarau ini memandangkan dia sudah berpengalaman di peringkat antarabangsa.

"Ini penyertaan terakhirnya dalam Kejohanan Remaja Dunia kerana dia bakal menginjak usia 18 tahun.

"Saya harap kami dapat memenangi dua pingat, kalau berjaya menang tiga, ia dianggap bonus," ujarnya.

Jin Wei pula enggan memikirkan terlalu jauh sambil bertekad untuk berjuang memberikan aksi terbaik dengan berkata: "Saya memiliki peluang dan akan berjuang.

"Ada sesetengah rakan sepasukan yang belum sempat saya bertemu lagi. Apapun, kami sebagai wakil Malaysia akan berusaha meraih gelaran."

Berbeza bagi acara berpasukan campuran yang turut dikenali sebagai Piala Suhadinata, Malaysia memiliki rekod baik apabila meraih gelaran naib juara dua tahun berturut-turut, dengan kedua-duanya tewas kepada China di pentas final.

Namun, dalam edisi kali ini, Yoke Meng menjangkakan laluan Malaysia mungkin sukar apabila diramalkan berjumpa China lebih awal sebaik memasuki peringkat kalah mati.

"Kali ini kami akan berdepan juara bertahan, China, lebih awal.

"Kalau dapat melepasi mereka, ia akan meningkatkan harapan kami untuk mara ke final sekali lagi," tambahnya.