Harapan untuk melihat skuad negara mencetus sensasi dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Russia tidak kesampaian apabila Malaysia hanya berupaya menamatkan saingan kategori berpasukan di tempat kesembilan.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng, kecewa dengan persembahan anak buahnya, namun menerima keputusan itu memandangkan kem negara ketandusan bakat untuk diketengahkan.

Selain itu, tempoh pemilihan pemain yang singkat turut menjadi faktor penyumbang apabila skuad kendaliannya itu gagal mengulangi pencapaian tempat kelima dalam edisi tahun lalu.

"Mereka beraksi seperti yang dijangkakan, cuma apa yang menjadi kebimbangan buat masa ini ialah pemain kami kurang keyakinan.

"Selain itu, prestasi mereka baik-baik sahaja.

"Kami hanya tewas kepada Hong Kong dan tidak layak menyertai kelompok lapan teratas dunia," katanya.

Bagaimanapun, Yoke Meng mahu pemainnya memanfaatkan masa yang ada untuk memulihkan semangat dan keyakinan untuk mencabar acara individu.

Antara yang menjadi sandaran pingat ialah beregu lelaki, Yap Roy King-Ooi Jhy Dar.

Selain itu, Roy King juga akan bergandingan dengan Gan Jing Err dalam acara beregu campuran.

"Ia perkara yang sama, masa terlalu singkat untuk meningkatkan mereka daripada aspek kemahiran, taktikal dan teknikal.

"Kami hanya dapat meningkatkan aspek mental mereka," tambahnya.