Pemain muda wanita negara, Goh Jin Wei, mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF di Markham, Kanada malam tadi (awal pagi Isnin di Malaysia).

Pemain pilihan ketiga itu menampilkan aksi bertenaga dengan menewaskan pilihan ke-13, Line Christophersen dari Denmark, menerusi kemenangan 21-13, 21-11 dalam final di Markham Pan Am Centre, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Kejuaraan tersebut adalah yang kedua diraih anak jati Pulau Pinang itu yang pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 setelah menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying, dalam final.

Jin Wei sebelum ini turut mengharumkan nama negara apabila mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam edisi ketiga Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.

Dalam pada itu, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, gagal mengulangi kecemerlangan dilakar Jin Wei setelah kalah 16-21,16-21 kepada pilihan utama, Liu Xuanxuan-Xia Yuting dari China.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang dihubungi Bernama, mengakui badan induk itu amat berbangga dengan kejayaan cemerlang Jin Wei dan juga pasangan muda negara itu yang tidak diletakkan sebarang harapan.

Beliau menjelaskan satu ganjaran khas bakal menanti ketiga-tiga pemain berkenaan yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan BAM minggu ini.

"Kejayaan ini merupakan satu petanda baik kerana di peringkat BAM, kita lihat mereka inilah yang akan menjadi pelapis kepada pemain sedia ada," jelas Mohamad Norza.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kejayaan cemerlang dilakar barisan pemain muda negara dalam kejohanan itu adalah hasil daripada pendekatan berterusan badan induk itu yang memberi tumpuan dalam melahirkan pemain berusia bawah 21 tahun, termasuk pasangan muda negara, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik selain pemain muda lelaki negara seperti Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia.

"Rangka kerja kita adalah untuk terus membina ramai pemain pelapis kerana selama ini kita terlalu bergantung kepada pemain senior dan sudah tiba masanya kita membuat pelaburan yang lebih giat lagi kepada pemain muda kita," tegas Mohamad Norza.

"Jin Wei berada pada tahap yang berbeza berbanding wakil dari Denmark. Dia telah bermain dengan bijak untuk meraih kemenangan dalam perlawanan ini," kata ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng.

-- BERNAMA