Pilihan ketiga, Lee Shun Yang, melakukan kejutan apabila mengatasi pilihan utama, Kok Jing Hong, untuk merangkul gelaran perseorangan lelaki dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan B-21 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh, hari ini.

Shung Yang memenangi set pertama 22-20 tetapi tumpas dengan angka yang sama dalam set kedua gara-gara gagal menguasai persaingan.

Bagaimanapun, pemain itu memperkemaskan permainannya dalam set penentuan untuk menang 21-17 bagi meraih hadiah wang tunai RM1,500 manakala Jing Hong terpaksa berpuas hati dengan RM750.

Sementara itu, Myisha Mohd Khairul pula meraih gelaran perseorangan wanita selepas menundukkan Tan Min Er.

Pemain pilihan kedua yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menang mudah 21-12, 21-10 ke atas lawannya dari Johor itu untuk membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala Min Er, RM500.