Kejohanan Jemputan BAM: Zii Jia akui rentak terjejas tanpa penyokong 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Ogos 2020 527
Kejohanan Jemputan BAM: Zii Jia akui rentak terjejas tanpa penyokong 
Perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, langkah kanan dalam perlawanan pertama  Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mudah mengatasi Lim Chong King dengan straight set.

Chong King yang dinaikkan pangkat ke Divisyen 1 selepas cemerlang dalam Divisyen 2, gagal memberikan tentangan dalam awal permainan apabila ketinggalan 1-7 dalam aksi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Ketika Zii Jia di kedudukan mata ke-16, Chong King cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang mata kepada 14-16.
 
Begitupun, Zii Jia kembali mengawal permainan untuk menamatkan set pertama 21-14.

Chong King cuba untuk menyaingi pemain ranking ke-10 dunia itu dalam set ketiga, tetapi usaha itu bersifat sementara kerana Zii Jia tampil lebih garang dengan variasi permainan yang lebih menarik dan mudah merakam kemenangan 21-9.

"Saya rasa tidak banyak bezanya kerana suasananya tidak sama, tanpa penonton.

"Ini sesuatu yang baru buat saya, ia memberi sedikit kesan dalam kemahiran dan rentak permainan dalam kejohanan," katanya. 

Pemain berumur 24 tahun dari Kedah itu meneruskan rentak kemenangannya apabila mengetepikan tentangan Aidil Sholeh Ali Sadikin 21-17, 21-17 sebentar tadi.  

 

BAM VICTOR Invitational Championships MATCHDAY 1️⃣ Division 1 Morning Session Soniia Cheah def. Letshanaa 21-13 21-11 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers @ Badminton Association of Malaysia - BAM

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Wednesday, August 12, 2020


Sementara itu, pemain yang dalam proses diserap ke skuad elit wanita, K. Letshanaa, gagal memberi saingan sengit kepada Soniia Cheah.

Letshanaa, yang bakal berusia 17 tahun pada Rabu depan, bermula garang apabila mengikat kedudukan 5-5 dalam set pertama.

Tetapi itu belum cukup sebaik Soniia memperkemaskan permainannya untuk menambah enam mata bagi pendahuluan 11-5 sebelum set pertama ditamatkan 21-13.

Walaupun ada peningkatan dalam mutu permainan Letshanaa dalam set berikutnya yang menyaksikannya mendahului 6-3.

Namun, faktor pengalaman sekali lagi menyukarkan Letshana untuk mempamerkan ketekalan untuk Soniia menepati ramalan dengan kemenangan 21-11 dalam tempoh 33 minit. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen