Kejohanan Jemputan BAM:  Strategi Yew Sin-Ee Yi perangkap Aaron-Wooi Yik 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Ogos 2020 314
Kejohanan Jemputan BAM:  Strategi Yew Sin-Ee Yi perangkap Aaron-Wooi Yik 
Di atas kertas, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mempunyai kelebihan berdasarkan rekod pertemuan 3-1 ke atas wakil profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang memihak kepada mereka. 

Begitupun, kejutan yang ditampilkan lawan mereka itu dengan mengawal set pertama membuahkan hasil buat Yew Sin-Ee Yi menjuarai Kumpulan A beregu lelaki apabila menang 21-18.

Set kedua menampakkan betapa Aaron-Wooi Yik tidak berada dalam prestasi sebenar apabila mudah memberikan mata kepada lawan sebelum Yew Sin-Ee Yi akhirnya memutlakkan kemenangan straight set 21-13 selain terus mengungguli setiap set. 

"Strategi yang kami terapkan dapat dijelmakan. Keputusan membabitkan kami seimbang, jadi ada menang dan kalah," kata Ee Yi.

Yew Sin pula berpendapat: "Mereka fokus manakala kami lebih santai dengan mengetengahkan corak permainan kami seperti yang dibincangkan."  

Dengan itu, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan juara Kumpulan B sementara Yew Sin-Ee Yi akan berdepan naib juara daripada kumpulan serupa. 

"Mereka dari awal permainan lagi sudah tahu rentak kami. 

"Hari ini kami tidak dapat keluarkan persembahan terbaik kami," kata Wooi Yik. 

Pada pandangan Aaron pula: "Pergerakan kami agak perlahan sedikit hari ini. 

"Mungkin persiapan mental kami tidak mencukupi."

Dalam satu lagi aksi pelengkap jadual beregu lelaki Kumpulan A, Ching Kai Feng-Lwi Sheng Hao memastikan mereka menutup kempen ini dengan kemenangan 18-21, 21-18, 21-16 ke atas Choong Hon Jian-Loo Bing Kun.

Ikuti siaran langsung Kejohanan Jemputan BAM di Astro Arena, hujung minggu ini. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen