Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, enggan menjadikan jadual padat sebagai alasan anak buahnya kurang cergas tetapi apa yang pasti, tempoh rehat panjang memberi impak kepada kecederaan yang dialami barisan pemain.

Jurulatih berasal dari Indonesia itu memberi Lee Zii Jia tempoh rehat sehingga Ahad ini selepas pemain utama negara itu mengalami kecederaan belakang ketika menerima tentangan sengit daripada Soong Joo Ven semalam dan jika perlu, dia akan melakukan pemeriksaan doktor Isnin ini.

"Pemain akan mengharungi satu perlawanan dalam sehari, ada yang dua kali.

"Sebagai juara, Lee Zii Jia harus belajar untuk mengatasi setiap situasi.

"Ini satu cabaran buat pemain senior bahawa mereka tidak boleh berada dalam zon selesa," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada hari ketiga Divisyen 1 hari ini.

Hendrawan mengakui saingan Divisyen 2 yang berlangsung minggu lalu membantu Leong Jun Hao dan Lim Chong King lebih bersedia daripada aspek fizikal.

Kelesuan mula menghambat pemain negara termasuk Leong Jun Hao.

Walaupun kemenangannya 21-17, 21-15 gagal digugat Ng Tze Yong, dia mengakui perlu menjalani program pemulihan sebaik kejohanan berakhir.

"Mungkin kerana sudah melalui banyak perlawanan, badan saya mulai lenguh.

"Saya perlu buat pemulihan yang bagus," kata Jun Hao.

Untuk rekod Jun Hao merekodkan tiga kemenangan dan dua kekalahan sementara Tze Yong dua kemenangan dan dua kekalahan dalam kempen kali ini.

Keputusan lain:

Perseorangan lelaki

Lim Chong King kalahkan Aidil Soleh 21-19, 12-21, 21-18

Ng Tze Yong kalahkan Cheam June Wei 21-12, 21-15

Beregu lelaki

Low Hang Yee-Ng Eng Cheong kalahkan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie 21-19, 17-21, 21-11

Ching Kai Feng-Lwi Sheng Hao kalahkan Choong Hon Jian-Loo Bing Kun 18-21, 21-18, 21-16

Tan Wee Kiong-Goh V Shem kalahkan Izzuddin- Goh Sze Fei 21-16, 27-25

Beregu campuran

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kalahkan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 21-18, 20-22, 21-18

Ikuti siaran langsung Kejohanan Jemputan BAM di Astro Arena, hujung minggu ini.