Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang bermula hari ini, menyerlahkan betapa berkaratnya kemahiran dan prestasi skuad negara selepas tempoh berehat panjang berikutan pandemik COVID-19.

Ia menyaksikan pemain pilihan saingan Divisyen 2, Lim Chong King, dan bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao, bergelut untuk menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan pertama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Dalam perlawanan sesi pagi, Jun Hao terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama bagi mencerahkan peluang untuk ke saingan Divisyen 1.

Selain mahu membuktikan dirinya sudah bebas daripada siri kecederaan berpanjangan sejak 2018, pemain berusia 21 tahun itu juga mahu memikat barisan kejurulatihan negara untuk dipilih menyertai skuad ke Piala Thomas 2020.

Jun Hao tewas 22-20 kepada Ter Chun Long dalam set pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 21-16, 21-14 dalam dua set berikutnya.

"Saya agak lambat panas, mungkin ada sedikit rasa tekanan tetapi saya hanya melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata demi mata dan kembali mengejar.

"Memang akan penat sebab ranking saya ketika ini di tempat ketujuh, jadi saya perlu mengharungi Divisyen 2," katanya.

Sementara itu, Chong King mengakui lebih tertekan untuk mendapatkan kembali suasana kejohanan dan tidak dapat mengeluarkan prestasi sebenarnya meskipun mencatat kemenangan 21-15, 21-14 ke atas Low Eu Cong.

"Saya tidak fikir saya dapat mengeluarkan 100 peratus seperti yang biasa saya lakukan dalam kejohanan tetapi saya boleh katakan ia sudah mencapai 80 peratus.

"Tetapi ia masih terasa agak janggal kerana suasana dalam latihan dan kejohanan pasti berbeza," katanya.

Keputusan lain sesi pagi:
Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar mn Wyman Goh (18-21, 21-9, 21-17)

Keputusan sesi petang:
Leong Jun Hao mn Low Eu Cong (23-21, 22-20)
Lim Chong King mn Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar (19-21, 21-15, 21-14)
Wyman Goh mn Ter Chun Long (22-20, 21-16)