Impian pemain perseorangan negara, Cheah Liek Hou, untuk menjulang kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Para Dunia di Basel, Swizerland musnah di tangan seterunya dari Indonesia, Deva Anrimusthi, menerusi kekalahan dalam separuh akhir semalam, yang tidak mencerminkan reputasinya sebagai juara bertahan.

Kemunculan Deva dalam saingan badminton para sejak dua tahun lalu menggugat kedudukan Liek Hou sebagai individu yang mendominasi klasifikasi SU 5.

Sentimen itu terbukti benar apabila perseorangan negara itu buntu untuk menidakkan pemain yang jauh lebih muda daripadanya itu.

Kualiti di antara mereka tidak jauh berbeza dan apa yang lebih mengecewakan ialah dia gagal memanfaatkan pengalaman yang dimilikinya untuk tewas 21-13, 21-8.

"Sebenarnya, saya memang main tak bagus hari ini.

"Mungkin lawan saya lebih bersedia dan kondisinya lebih baik berbanding saya.

"Deva ini muda dan baru berumur 21 tahun, jadi pergerakannya ringan dan aksinya konsisten.

"Kesalahannya juga kurang, jadi semua itu memang menjejaskan permainan saya," katanya.

Baginya, kekalahan itu akan dijadikan pengajaran jika enggan berputih mata dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dia akan kembali berlatih bersama jurulatihnya, Nova Armada dan Rashid Sidek, di Kelab Badminton Sports Affairs.

"Saya sudah bincang dengan jurulatih di Sports Affairs.

"Mungkin, balik ini, kami akan mengubah suai (gaya permainan) hingga Sukan Paralimpik Tokyo.

"Mungkin saya akan berada dalam kondisi yang bagus," tambahnya.