Gelaran perseorangan nombor satu Malaysia belum cukup buat Lee Zii Jia senang duduk menjelang Kejohanan Jemputan Divisyen 1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula Rabu ini.

Ini selepas juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao dan Lim Chong King, mempamerkan prestasi menakjubkan ketika saingan divisyen 2 tempoh hari.

"Terdapat tekanan berdepan pemain muda jadi saya perlu berusaha untuk mempertahankan kemampuan saya," kata Zii Jia.

Perasaan terancam hadir dalam diri atlet berasal dari Kedah itu ketika reputasi sebagai nombor satu Malaysia memerlukan dia untuk mempertahankan kedudukannya dalam kejohanan itu nanti.

Saingan yang membabitkan kelibat kebiasaannya dilihat di gelanggang latihan bermakna tiada kelebihan untuk Zii Jia tatkala corak perlawanannya lebih mudah dikenalpasti.

"Jun Hong dan Chong King memang sebelum ini telah membuktikan kemampuan mereka dan perkara paling penting adalah tidak memandang rendah kemampuan pemain lawan. Saya berharap kami dapat memberikan persaingan antara satu sama lain," kata Zii Jia.

"Saya tidak dapat menjangkakan cabarang yang bakal dihadapi dan kelemahan dalam permainan selepas lama tidak menyertai pertandingan."

Bagaimanapun, kejohanan tersebut bersifat permulaan pertama Zii Jia menjelang kejohanan lebih besar yang mendatang seperti mengetuai cabaran Piala Thomas 2020 negara Oktober ini.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, meramalkan kejutan dalam kejohanan yang akan bermula Rabu ini.

Menurutnya, persaingan sihat akan merangsang permain untuk membuktikan kenapa mereka masih relevan untuk mewakili Malaysia.

Ini juga menyerlahkan dasar keterbukaan BAM untuk membentuk skuad Piala Thomas dan Uber berdasarkan prestasi semasa dan tidak sekadar pada reputasi.

"Saya menjangkakan kejutan dalam kejohanan dalaman kerana setiap pemain mengetahui kemampuan masing-masing. Kami akan melihat pemain yang sentiasa bersedia akan mampu memberikan kejutan yang positif," kata Choong Hann.

"Kejutan ini membuktikan setiap pemain sentiasa bersedia untuk menampilkan permainan dan keputusna yang cemerlang."