Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia: Malaysia tewas di tangan China 

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 1305
Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia: Malaysia tewas di tangan China 
Misi Malaysia untuk merampas kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia tidak kesampaian apabila tewas 3-1 di tangan juara bertahan, China, sekaligus menyaksikan kemarau sejak edisi 2011 berterusan.

Pertemuan ini ibarat ulangan final edisi 2016 di Bilbao, Sepanyol tetapi kali ini Malaysia turun sebagai pilihan.

Semuanya bermula dengan langkah kanan menerusi beregu campuran Man Wei Chong dan Pearly Tan, namun dipaksa mengerah keringat ketika berdepan Fan Qiuyue-Li Wenmei sebelum menang 21-12, 9-21, 21-17.

Harapan Malaysia untuk menjarakkan diri tidak kesampaian apabila juara remaja Asia, Leong Jun Hao, gagal mempamerkan prestasi sebenar.

Menentang Gao Zhengze, Jun Hao terkulai selepas 38 minit menerusi keputusan straight set 14-21, 18-21.

Skuad negara bertambah resah saat beregu lelaki, Chang Yee Jun-Ng Eng Cheong, tewas set pertama 19-21 kepada gandingan Qiuyue dan Wang Chang.

Resah bertukar bimbang apabila perlawanan ini memihak China yang menang set kedua 21-17.

Segala beban untuk mengembalikan peluang negara jatuh di bahu bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, yang berdepan Han Yue.

Jin Wei tewas set pertama 16-21 sebelum bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 22-20.

Bagaimanapun, Jin Wei tidak berupaya meneruskan momentum dalam set penentuan apabila terpaksa akur dengan kekalahan mutlak 8-21.

Dengan ini, skuad muda negara akur dengan status selaku naib juara buat dua edisi berturut-turut dan ia merupakan kemenangan ke-12 buat China dan keempat secara berturut-turut.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen