Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada enam yang dipertandingkan dalam Kejohanan Badminton Universiti Dunia di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur dari 15 hingga 21 Oktober ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan komitmen​​​​ ​​​dan semangat yang ditunjukkan oleh 12 pemain di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek.

Biarpun disertai oleh negara kuasa besar badminton seperti China dan Korea Selatan, katanya, beliau yakin kontinjen negara mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, hari ini.

Sejumlah 200 pemain dan pegawai dari China, Korea Selatan, Australia, Brazil, Kanada, Thailand, Jerman, Singapura, Rusia dan Amerika Syarikat akan menyertai kejohanan seminggu itu di bawah naungan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU).

-- BERNAMA