Kejayaan pasangan beregu muda badminton negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, menjuarai Terbuka Bitburger, serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen yang mengungguli Cabaran Antarabangsa Indonesia adalah petanda awal bahawa Malaysia sudah mempunyai barisan pelapis yang mantap.

Tanpa diduga, barisan beregu muda negara mempamerkan prestasi yang membanggakan apabila mengungguli kejuaraan mereka yang pertama.

Ee Yi-Yew Sin serta Kah Ming-Juan Shen baru sahaja digandingkan sejak setahun lalu oleh jurulatih beregu negara, Jeremy Gan.

Walaupun masih awal untuk membuat ramalan, Jeremy yakin pasangan itu mampu menjadi prospek terbaik negara kelak berdasarkan prestasi perlawanan dan komitmen kedua-dua pasangan itu ketika sesi latihan.

"Memang bagus mereka menjuarai Terbuka Bitburger kerana ini akan menyuntik keyakinan mereka untuk berdepan lawan di peringkat lebih tinggi.

"Ini permulaan yang baik bagi mereka, saya berasa mereka perlu lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar," ujarnya.

Nada sama diutarakan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, yang menjangkakan mereka mampu menjadi pencabar utama dalam tempoh setahun lagi.

Di sebalik kejayaan cemerlang barisan beregu muda negara, Frost juga melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan barisan pemain muda perseorangan negara yang masih lagi belum mencapai prestasi yang diharapkan.

"Tidak diragui lagi pemain perseorangan wanita kita semakin meningkat manakala perseorangan lelaki kita pula bergelut.

"Ketika saya mula menggalas tugas ini 20 bulan lalu, barisan beregu lelaki adalah masalah utama yang kami hadapi.

"Dan sekarang perseorangan lelaki seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) melaksanakan tugasnya dengan baik. Namun, aksi pemain di bawah Iskandar masih kurang memuaskan," kata Frost.