Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, tidak gelisah dalam usaha mencari pengganti kepada jurulatih perseorangan negara, Wong Tat Meng.

Perancangan BAM untuk mengukuhkan barisan kejurulatihan mengalami sedikit terjejas berikutan keputusan Tat Meng yang enggan menyambung kontrak bersama badan induk berkenaan.

Dia sebelum ini diberi tugasan untuk mengendalikan bahagian perseorangan lelaki selepas tempatnya di bahagian wanita diambil alih Sairul Amar Ayob.

Namun, tawaran untuk menjadi ketua jurulatih Scotland lebih menarik minat Tat Meng dan akan berhijrah ke sana Januari nanti.

Lantas, Frost kini merangka perancangan untuk memastikan individu yang mengisi kekosongan Tat Meng dapat meneruskan kesinambungan yang diharapkan.

Frost, bagaimanapun, enggan mendedahkan siapa calon yang difikirkan sesuai untuk tugas berkenaan.

"Kami sudah mempunyai rancangan luar jangka. Kami sudah mempunyai sesuatu dalam fikiran dan masih dalam peringkat perbincangan tetapi saya akan mengemukakannya nanti untuk mendapat kelulusan," katanya.

Dalam pada itu, Frost menjelaskan tiada masalah membabitkan Tat Meng bersama pengurusan, sambil menyifatkan keputusan yang diambilnya adalah demi kemajuan karier jurulatih itu sendiri.

Tambah Frost, kepakaran tenaga tempatan tidak dapat dipertikaikan kerana mampu menarik perhatian pasukan dari luar negara.

"Ini adalah sangat biasa, perkara biasa yang berlaku dalam BAM. Saya sangat gembira dengan kerja Tat Meng tetapi ini adalah satu peluang untuk dia. Ini adalah sesuatu untuk dia, keluarganya, kehidupannya dan sudah tentu dia mesti mengambilnya," tambahnya.

Penghijrahan Tat Meng ke Scotland menyaksikan barisan perseorangan lelaki kini di bawah seliaan Hendrawan, Tey Seu Bock dan Indra Wijaya.