Masalah kecederaan masih lagi membelenggu skuad badminton negara selepas menyertai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu.

Juara Kejohanan BAM Divisyen 2, Leong Jun Hao, memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk kembali berlatih menjelang perebutan tempat ke Piala Thomas, Oktober depan.

Pemain berusia 21 tahun itu antara salah seorang pemain muda yang sedang meningkat daripada segi prestasi apabila mempamerkan kekuatan mental tinggi ketika berdepan barisan pemain elit negara dalam saingan Divisyen 1.

Lebih menarik, dia meraih kejuaraan itu dengan rekod tanpa kalah.

"Saya semakin pulih selepas hampir seminggu menjalani rawatan.

"Ia membabitkan otot terkoyak tetapi kecil sahaja," katanya ketika diwawancara wakil Nadi Arena, Irfan Ali, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Can’t stop, won’t stop ?? #MondayMotivation #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Monday, August 24, 2020


Bekas juara Kejohanan Remaja Asia 2017 itu meneruskan rentak cemerlangnya dengan menewaskan pemain senior, Liew Daren, dalam perlawanan pertama Divisyen 1 sebelum tewas kepada Soong Joo Ven dalam perlawanan kedua.

Faktor kecederaan mungkin memberi ruang kepada Jun Hao untuk terus mara namun penampilannya dalam final boleh digambarkan sebagai satu detik yang cemerlang.

Momentum Jun Hao bagai tersentak apabila dilanda kecederaan paha yang memaksanya agar berehat dan menerima rawatan sebelum diberi kebenaran untuk kembali berlatih.

"Walaupun ia agak mengganggu (momentum latihan) kerana saya hanya boleh membuat latihan ringan.

"Jadi saya perlu banyak berehat sambil berharap dapat pulih dengan segera," katanya.


Senarai pemain cedera

• Lee Zii Jia - otot belakang

• Soong Joo Ven - hamstring

• Liew Daren - kecergasan / kelesuan

• Goh Soon Huat - abdomen