Tragedi menimpa skuad negara dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol, apabila juara bertahan, Goh Jin Wei, tersingkir dalam pusingan kelima gara-gara mengalami kecederaan buku lali.

Kecergasan Jin Wei sudah mula teruji ketika dia turun menentang Natsuki Oie dari Jepun memandangkan itu perlawanan keduanya dalam tempoh yang singkat, semalam.

Segalanya berjalan seperti yang dirancang apabila Jin Wei memenangi set pertama 21-10 sebelum Oie mencuri kemenangan pada set berikutnya 21-16.

Jin Wei, yang mula dibelenggu kecederaan pada set ketiga, berusaha untuk mempamerkan aksi sebaik mungkin, sebelum Oie mengesahkan kemenangan dengan keputusan 21-16.

Emosi Jin Wei nyata terganggu sejurus selepas perlawanan, dengan dia terpaksa ditenangkan oleh barisan kejurulatihan negara.

Reaksi Jin Wei juga menawarkan pandangan betapa dia kecewa kerana tidak berupaya mempertahankan kejuaraan buat Malaysia.

"Sewaktu set kedua, saya mendahului dengan 12-7 tetapi ketika mencuba untuk mendapatkan bulu tangkis, saya tersalah langkah dan mengalami kecederaan pada buku lali.

"Saya amat kecewa kerana gagal untuk mempertahankan kejuaraan," jelas Jin Wei yang menahan sebak ketika ditemu bual oleh wartawan Nadi Arena.