KBS tetap bantu Peng Soon-Liu Ying

Oleh Bernama 16 Disember 2018 498
KBS tetap bantu Peng Soon-Liu Ying
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan membantu beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, meskipun pasangan itu membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menghormati keputusan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dalam karier mereka bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang.

"Mereka berjumpa dengan saya dua minggu lepas untuk memaklumkan perkara ini tetapi pasangan beregu tersebut menyatakan matlamat dan niat mereka tetap untuk berjuang demi mengharumkan nama negara.

"Kita akan memastikan pasangan itu layak bertanding dalam Sukan Olimpik 2020 dan seterusnya dapat memenangi pingat untuk Malaysia," katanya selepas menghadiri program ziarah peserta Khatan Pendekar di Kampung Sungai Pulai Laut, Parit Jawa, hari ini.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawabnya kini untuk membantu pasangan beregu berkenaan dan BAM, serta mengeratkan hubungan dengan KBS demi kepentingan sukan badminton negara.

"Berhubung tindakan susulan lain selepas ini, paling penting bagi KBS teruskan membantu mereka dalam segala hal," kata Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar.

Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Peng Soon-Liu Ying menghantar surat peletakan jawatan mereka sebagai pemain kebangsaan pada 29 November lalu.

Menurut kenyataan tersebut, selepas mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, BAM menerima keputusan peletakan jawatan pasangan beregu campuran itu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen