Pendahulu SS Purple League, Kelab Badminton (KB) Puchong United, mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas empat perlawanan dalam saingan round robin di Sports Arena Sentosa, hari ini.

Sebentar tadi, mereka sekali lagi menunjukkaan potensi selaku pasukan pencabar utama musim ini dengan kemenangan 12-7 ke atas KB Kepong.

Dalam acara perseorangan lelaki, kedua-dua pemain terpaksa berpuas hati dengan perlawanan berakhir seri. Pemain KB Kepong, Lim Chi Wing seri 2-2 (6-11, 6-11, 11-8, 11-9) bertemu Liew Daren yang beraksi untuk KB Puchong United.

Selepas itu, KB Puchong United mendahului pungutan set mata 5-2 selepas pemainnya, Aya Ohori, mengatasi pemain KB Kepong, Sugino Ayaho, 3-0 (11-4, 11-3, 11-5) dalam acara perseorangan wanita.

KB Puchong United terus melebarkan jurang pungutan mata dalam aksi beregu lelaki selepas itu. Pemainnya, Lim Khim Wah-Teo Ee Yi menang tipis 3-2 (11-9, 8-11, 7-11, 11-10, 8-7) dalam tempoh permainan 30 minit mengatasi Liao Min Chun-Su Ching Heng. Keputusan itu meletakkan KB Puchong United mendahului 8-4 secara pungutan mata set.

Tidak mudah menyerah kalah, giliran KB Kepong bangkit semula untuk merakamkan kemenangan dalam acara beregu campuran. Gandingan Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub menang 3-1 (11-9, 8-11, 11-7, 11-8) mengalahkan gandingan KB Puchong United, Lee Hyo Jung-Ong Yew Sin. Ia sekaligus membolehkan KB Kepong merapatkan pungutan mata set kepada 7-9.

Satu lagi acara perseorangan lelaki menjadi penentu kemenangan buat kedua-dua pasukan. Perlawanan itu lebih memihak KB Puchong United dengan permainan kemas ditunjukkan Wei Nan bagi mengatasi Thongnuam Pannawit 3-0 (11-8, 11-5, 11-5).

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva, berkata dia gembira dengan persembahan barisan pemainnya ketika ini dan tidak menolak untuk memberi ruang kepada pemain yang belum diturunkan.

“Saya rasa kami mempunyai pasukan yang mempunyai kekuatan seimbang dalam setiap acara dengan kemenangan yang lebih daripada 10 mata setiap perlawanan.

"Saya percaya kami mampu mara ke peringkat akhir dengan mata kemenangan yang telah dikutip setakat ini. Mungkin dalam dua perlawanan terakhir saingan round robin bulan depan, kami akan mencuba pemain baru.

“Ini penting kerana mata kemenangan yang dicapai adalah penting untuk memberi keyakinan kepada setiap pemain dalam pasukan. Saya mahu mereka fokus terhadap setiap perlawanan, setiap mata dalam setiap acara adalah penting buat pasukan,” katanya.

Dia menambah, “Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini. Tetapi kita perlu faham setiap mata diambil kira dalam liga ini, menang setiap perlawanan belum tentu kita dapat menjuarai liga sekiranya mata yang dikutip adalah rendah.

"Jadi, saya yakin lawan juga sentiasa mengkaji corak permainan pemain saya, ditambah pula dengan jendela perpindahan bakal dibuka sebelum peringkat akhir nanti. Jadi, kami juga perlu mencuba barisan terbaik untuk diturunkan dalam setiap perlawanan,” katanya selepas perlawanan.