Tempat ketiga saingan badminton remaja, Junior Champions Challenge (JCC) 2016 menjadi milik Kelab Badminton (KB) Petaling.

Dalam saingan yang berlangsung di Sports Arena, Bukit Sedang petang tadi, KB Petaling bangkit untuk menundukkan KB Kepong dengan kiraan mata 10-9.

Dalam kategori perseorangan lelaki, KB Kepong yang diwakili oleh Kok Jing Hong terlebih dahulu menang ke atas James Hong Jun 8-11, 11-6, 11-7, 11-9 (3-1).

Selepas itu, giliran pemain import KB Kepong, Silprakob Suphapich dari Thailand, pula menghadiahkan kemenangan kedua menerusi perseorangan perempuan dengan keputusan 11-7, 8-11, 11-5, 8-11, 11-3 (3-2).

KB Kepong terus menguasai permainan dalam beregu lelaki apabila mereka menang menerusi gandingan Chua Yue Chern/Tee Kai Wun yang menewaskan Ian Wong Jien/ Kwek Yee Jian 11-5, 9-11, 11-6, 11-7 (3-1).

Beregu perempuan KB Petaling, Loh Bao Ying/ Tew Jia Jia, bagaimanapun mula bangkit untuk menumpaskan pasangan Bonoi Pokitta/ Chu Ai Chia 11-9, 11-5, 11-8 (3-0).

Ketika kiraan mata 7-9 memihak KB Kepong, beregu campuran KB Petaling, Loh Ze Feng/ Wanida Buapa, sekali lagi berjaya mengutip tiga mata apabila menang 11-8,11-8, 11-4 (3-0).

Dengan kutipan mata 10-9 secara keseluruhan, KB Petaling berjaya menang, sekaligus meraih tempat ketiga saingan JCC 2016.

Mereka membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala tempat keempat menerima RM4,000 serta medal.