Tiga kemenangan dan hanya satu kekalahan setakat ini membuat juara bertahan SS Purple League, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya, semakin yakin mereka bakal menempatkan diri antara enam pasukan dalam kelompok teratas liga round robin, sekaligus akan mara ke peringkat akhir kejohanan ini.

Dalam perlawanan keempat hari ini, KB Petaling Jaya menewaskan KB Bangsar Hawks 14-6.

Goh Giap Chin terlebih dahulu meletakkan KB Petaling Jaya di depan menerusi kemenangan 3-0 (11-1, 11-9, 11-5) ke atas lawannya dari KB Bangsar Hawks, Wu Song Jian.

Dalam acara perseorangan wanita selepas itu, pemain KB Petaling Jaya, Supanida Katethong, terus menambah pungutan mata pasukannya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Shen Yabing 3-2 (8-11, 8-11, 11-9, 11-6, 9-5).

Kedudukan KB Petaling Jaya bertambah selesa selepas mereka turut menguasai acara beregu lelaki. Gandingan pemain negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen menang 3-1 (11-10, 7-11, 11-5, 11-9) mengalahkan pasangan KB Bangsar Hawks, Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong. Kemenangan itu meletakkan KB Petaling Jaya di depan 9-3.

KB Petaling Jaya, bagaimanapun, terpaksa akur apabila tewas dalam beregu campuran. Pasangan K. Yogendran-Ti Wei Chyi tewas tipis 2-3 (7-11, 7-11, 11-8, 11-4, 8-11) kepada Hiripong Sathorn-Liu Lin, membolehkan KB Bangsar Hawks merapatkan kedudukan kepada 11-6.

Bagaimanapun, pemain KB Petaling Jaya, Lee Cheuk Yiu, yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, melengkapkan kemenangan pasukan itu apabila mudah menewaskan Zulhelmi Zulkffli 3-0 (11-8, 11-8, 11-6), sekaligus menghadiahkan kemenangan mutlak buat pasukannya.

Juan Shen berkata: “Dengan kemenangan ketiga diraih KB Petaling Jaya tadi dan hanya satu kekalahan ketika ini, saya rasa peluang untuk kami mara ke peringkat akhir adalah cerah. Lagipun, perlawanan round robbin SS Purple League hanya berbaki tiga perlawanan lagi.

“Saya dan pasangan yang beraksi untuk acara beregu lelaki setakat ini telah menghadiahkan tiga kali kemenangan dan hanya satu kekalahan. Kami juga serasi kerana Chooi Kah Ming sememangnya gandingan saya dalam pasukan negara.

"Saya yakin kami akan terus memberikan yang terbaik kerana kami adalah juara bertahan dan kami mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi,” ujar Juan Shen selepas tamat perlawanan.