Kelab Badminton (KB) Kepong mencatat kemenangan kedua biarpun sekadar menang tipis 10-8 ke atas KB Serdang dalam saingan liga sepusingan SS Purple League 2017/18 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Lim Chi Wing yang memulakan perlawanan dalam acara perseorangan lelaki meletakkan KB Kepong di landasan kemenangan selepas menang 3-0 (11-6, 11-9, 11-4) mengatasi pemain KB Serdang dari China, Yu Chen.

Kedudukan KB Kepong bertambah selesa dalam acara perseorangan wanita apabila pemain negara, Ho Yen Mei, menewaskan seorang lagi rakannya dalam kem negara yang mewakili KB Serdang, Lee Ying Ying, juga dengan keputusan 3-0 (11-10, 11-9, 11-7).

Keputusan itu menyaksikan KB Kepong mendahului pungutan set mata keseluruhan 6-0.

Usaha KB Kepong untuk melebarkan jurang dalam acara beregu lelaki terus berhasil apabila gandingan Azriyn Ayub-Yang Po Han menyajikan aksi menarik untuk bangkit daripada ketinggalan, sekaligus menghadiahkan kemenangan 3-2 (8-11, 9-11, 11-9, 11-10, 7-6).

Mereka menewaskan Pei Tianyi-Tan Jinn Hwa untuk melebarkan jurang kutipan set mata kepada 9-2.

Bagaimanapun, hasrat KB Kepong untuk menambah mata gagal dicapai dalam acara beregu campuran selepas gandingan Goh Soon Huat-Ng Wing Ying tewas 3-0 (9-11, 6-11, 6-11) kepada Chen Hsiao Huan-Lu Ching Yao.

Kekalahan itu memberi ruang KB Serdang merapatkan jurang mata menjadi 9-5.

Dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, KB Kepong sekali lagi tewas kepada KB Serdang. Kali ini Thongnuam Pannawit tumpas kepada pemain muda berbakat, Leong Jun Hao, 3-1 (9-11, 7-11, 11-10, 9-11).

Jurulatih KB Kepong, Mohd Zakry Latif, berkata: “Saya berharap pemain akan meningkatkan prestasi dalam perlawanan selepas ini kerana mereka akan berhadapan dengan pasukan lebih kuat.

"Untuk hari ini, nasib kurang memihak kepada kami memandangkan kami sekadar menang tipis dalam beregu lelaki dan tewas dalam beregu campuran. Apa-apa boleh berlaku dalam sistem 30 minit dan 11 mata saingan ini.

“Untuk perancangan selepas ini, saya mungkin melakukan sedikit perubahan, terutama terhadap pasangan beregu, kerana kami menyasarkan untuk ke pusingan akhir Purple League di Genting Highlands nanti,” katanya selepas perlawanan.