Mendahului carta teratas Divisyen Satu Junior Purple League (JPL) 2016 sejak pusingan pertama sebelum dipintas juara bertahan, Kelab Badminton (KB) Petaling di pusingan kelima hari ini nyata memberikan satu tekanan kepada KB Kepong dalam aksi yang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya.

Dalam aksi pusingan kelima tadi, walaupun menang, 4-1 (13-6) mengatasi KB Muar, anak didik Ai Wei Jian gagal mengutip banyak mata kemenangan sementara KB Petaling pula menang bergaya apabila mudah menewaskan pasukan di tangga ketiga, KB Cheras dengan keputusan 5-0 (15-3).

Jurulatih KB Kepong Ai Wei Jian, mengakui pasukannya kini tertekan kerana dipintas KB Petaling.

“Memang kita mendapat tekanan sebab sebelum ini kita di atas tetapi selepas ini kita perlu mengutip mata bagi mengejar pasukan KB Petaling," katanya.

Pada set pertama perseorangan lelaki, pemain KB Kepong Nuraidil Adha berjaya menang dengan keputusan 11-8, 11-10,9- 11,11-10 (3-1) menumpaskan Shafiq Iqbal dari KB Muar.

Dalam perseorangan perempuan pula, KB Kepong menerusi pemain importnya, Silprakob Sulphapich berjaya mengatasi lawannya, Erica Hoh Ji Ling dengan keputusan 11-9, 9-11,11- 8,11-10 (3-1).

Di set ketiga menerusi gandingan beregu lelaki, Ahmad Zaid/Helmie Zulhaidee juga berjaya menang ke atas lawan mereka Izat Farhan/Muhd Nurzaihani dengan keputusan 11-7,11- 7,10-11,11- 8 (3-1) dalam aksi selama 35 minit.

Walau bagaimanapun, KB Kepong keciciran mata dalam beregu perempuan apabila gandingan Bonoi Pakitta/Gan Jing Err tumpas kepada beregu adik beradik KB Muar, Aimsaard Benyapa/Aimsaard Nuntakarn 11-7,4- 11,9-11,7- 11(1-3).

Dalam set terakhir beregu campuran, KB Kepong berjaya bangkit melalui gandingan Pearly Tan Kong Le/Tee Kai Wun apabila berjaya menang ke atas gandingan KB Muar, Kam Wei Li/Roobenral dengan keputusan 11-6,11- 2,11-1 (3-0).

Wei Jian mengakui strateginya mencuba beberapa pemain baru kerana bakal berhadapan beberapa pasukan mantap selepas ini menyebabkan mereka kehilangan mata berharga.

“Kita ada cuba pemain baru dalam beregu dan perseorangan perempuan sebagai persediaan menentang pasukan KB Bandar Utama Dragons selepas ini yang juga merupakan pasukan kuat.

“Sebenarnya hari ini saya target lebih banyak kutipan mata tetapi sesetengah pemain beraksi dengan kurang baik. Jadi lepas ini kita kena cari lebih banyak mata kemenangan”, ujarnya.

Secara keseluruhan selepas tamat pusingan kelima, KB Petaling berjaya merampas kedudukan apabila mengutip 37 mata kemenangan. KB Kepong pula mengutip 37 mata menyaksikan kedua-dua pasukan ini dibezakan dengan 2 mata ketika ini dan saingan perebutan takhta Divisyen Satu JPL 2016 pastinya semakin menarik selepas ini.