Kelab Badminton (KB) Cheras akhirnya mencatatkan kemenangan pertama selepas melalui tiga perlawanan SS Purple League musim ini apabila mengatasi KB Hawks 12-11 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Bagaimanapun, jurulatihnya, Nova Armada, mengakui pasukan itu masih belum cukup sempurna dan perlu lebih fokus lagi dalam perlawanan selepas ini untuk menambah kutipan mata kemenangan.

“Kami memang menyasarkan untuk meraih kemenangan ke atas KB Bangsar Hawks hari ini. Lagipun, kami baru sahaja menyatukan beregu lelaki, jadi kami baru mendapat keserasian.

Begitu juga dengan pemain beregu campuran, Tan Wei Han, yang bermain walaupun mengalami kecederaan. Saya mengakui pasukan kami belum cukup mantap dan ini sahaja yang kami ada setakat ini untuk menempuh kempen ini.

“Saya lega tetapi sebenarnya belum puas. Selepas ini, kami akan bertemu KB Serdang dan saya harap kami dapat mencapai satu lagi kemenangan.

"KB Cheras tidak menyasarkan apa-apa, cukuplah kami mampu mara selaku enam pasukan teratas. Jika mencapai kedudukan lebih baik, itu adalah satu bonus kepada kami,” kata pengendali dari Indonesia itu.

KB Bangsar Hawks mendahului perlawanan hasil kemenangan pertama mereka dalam acara perseorangan lelaki. Pasukan itu yang diwakili oleh Zhang Song Ye menang 3-2 (11-6, 11-8, 7-11, 4-11, 5-4) ke atas pemain KB Cheras, Chong Yee Han, dalam tempoh 30 minit perlawanan.

Skrip dan keputusan sama berulang dalam acara perseorangan wanita selepas itu, KB Bangsar Hawks sekali lagi menang 3-2 (11-8, 11-7, 6-11, 8-11, 8-7). Kali ini giliran Shen Yabing menundukkan pemain KB Cheras, Grace Chua Hui Zhen.

Penguasaan KB Bangsar Hawks, bagaimanapun, gagal diteruskan dalam acara beregu lelaki apabila gandingan mereka, Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong tewas 3-1 (5-11, 11-9, 6-11, 10-11) kepada pasangan KB Cheras, Amirsyazwan Al- Razi-Arif Latif. Keputusan itu menjadidikan pungutan set mata kedua-dua pasukan terikat 7-7.

Acara beregu campuran selepas itu memperlihatkan KB Bangsar Hawks sekali lagi terpaksa berputih mata apabila pemainnya, Cheng Yu Chieh-Hiriphong Sathorn, kecundang 3-2 (11-6, 2-11, 11-8, 5-11, 9-11) kepada pasangan KB Cheras, Hendra Aprida Gunawan-Tan Wei Han. Keputusan itu membolehkan KB Cheras mendahului 10-9.

Dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki, pemain KB Bangsar Hawks, Zulhelmi Zulkiffli, dan pemain KB Cheras, Fikri Ihsandi, terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 (6-11, 11-9, 4-11, 11-10), sekaligus menghadiahkan kemenangan kepada KB Cheras.