Kelab Badminton (KB) Bangsar Hawks sekali lagi mengalami kekalahan dan kali ini mereka tewas 12-8 kepada KB Kepong dalam perlawanan pusingan round robin SS Purple League 2017/18 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyebabkan KB Bangsar Hawks hampir pasti gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok enam pasukan teratas bagi merebut tempat ke peringkat akhir dengan hanya satu lagi perlawanan berbaki untuk mereka mencipta kejutan.

Bagaimanapun, pengurusnya, Abdul Hafidz Win, berkata dia tidak terlalu kecewa kerana anak-anak buahnya yang turut dibimbing bersama oleh Datuk Razif Sidek, mendapat pendedahan yang begitu berguna.

“Kami ada satu lagi baki perlawanan menentang KB Serdang dalam perlawanan terakhir nanti. Apapun, saya tidak terlalu kecewa kerana objektif utama KB Bangsar Hawks adalah untuk membentuk pemain-pemain muda.

"Kami memberi peluang kepada pemain-pemain muda tempatan untuk beraksi, begitu juga dengan pemain import, kerana mereka adalah pemain-pemain yang dalam peringkat mencari pengalaman. Jadi, kelab ini adalah tempat untuk mereka.

“Saya ambil contoh, beregu lelaki kita, Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong juga pernah mengejutkan Goh V Shem-Ian Wong Jian Sern dalam perlawanan sebelum ini. Jadi, ia adalah satu petanda positif untuk pemain-pemain seperti mereka.

"Dalam perlawanan tadi pula, kita dapat lihat pemain perseorangan wanita kami, Yap Yee, hampir-hampir mengatasi pemain Jepun, Ayaho Sugino,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tadi, KB Bangsar Hawks terlebih dulu mencatatkan kemenangan dalam acara perseorangan lelaki melalui pemainnya, Zhang Song Ye, yang mengatasi Lim Chi Wing 3-2 (4-11, 11-3, 11-9, 8-11, 6-5).

KB Kepong bagaimanapun kembali mengikat pungutan set mata keseluruhan menjadi 5-5 dalam acara perseorangan wanita selepas itu. Pemainnya, Ayaho Sugino, menang ke atas Yap Yee 3-2 (11-10, 7-11, 11-4, 10-11, 6-2).

Dalam acara beregu lelaki pula, KB Bangsar Hawks mencatat kemenangan. Pasangan Dede Ryan Philip- Yap Qar Siong menang 3-1 (11-10, 8-11, 11-7, 11-10) mengatasi pasangan KB Kepong, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Chee Tean, sekaligus membolehkan KB Bangsar Hawks mendahului set mata keseluruhan 8-6.

Perlawanan semakin rancak apabila giliran KB Kepong pula menguasai acara beregu campuran. Pasangannya, Cheah Yee See-Goh Soon Huat mengatasi gandingan KB Bangsar Hawks, Hiripong Sathorn-Liu Lin 3-0 (11-3, 11-8, 11-7). Kedudukan itu mengubah keputusan set mata keseluruhan untuk KB Kepong pula di depan 9-8.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki KB Bangsar Hawks, Wu Song Jian, yang turun dalam perlawanan terakhir gagal untuk mempamerkan persembahan mantap. Dia tewas 0-3 (5-11, 8-11, 7-11) kepada Soong Joo Ven, sekaligus meletakkan KB Bangsar Hawks terus berada dalam zon penyingkiran untuk ke peringkat akhir SS Purple League 2017/18.