Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu menyelesaikan isu kejurulatihan skuad beregu lelaki sebelum memikirkan penambahan kepakaran teknikal.

Ia susulan kesediaan Datuk Seri Jalani Sidek untuk berkhidmat bersama badan induk itu.

Semalam, Jalani menyatakan kesediaannya kepada Nadi Arena untuk menawarkan kepakaran sebagai penganalisis bagi mengkaji prestasi dan persembahan barisan pemain secara keseluruhan.

"Ya, dengan kekosongan ataupun keperluan (terhadap peranan itu), sudah tentu kami akan mempertimbangkan tawaran seperti itu.

"Saya sangat menghargai tawaran-tawaran itu," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dalam satu majlis penajaan hari ini yang menyaksikan BAM terus mendapat sokongan badan korporat daripada Daihatsu untuk tempoh dua musim bermula 2018, terutama bagi penganjuran Kejohanan Masters Malaysia.

Bagaimanapun, Norza menegaskan pengganti Jeremy Gan lebih penting berbanding kekosongan berbentuk teknikal yang ditinggalkan bekas Pengarah Teknikal, Morten Frost.

"Kita mempunyai ramai kepakaran tempatan yang memahami tabiat pemain-pemain kita.

"Lebih baik kami fokus dulu mencari pengganti Jeremy Gan, kita mempunyai bekas pemain legenda di luar sana yang sanggup bersama kami.

"Apapun, Cheah Soon Kit mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) tersendiri. Dia mempunyai tanggungjawab dan untuk merealisasikannya, dia memerlukan sokongan," katanya lagi.