Di sebalik personaliti luar biasa, Lee Zii Jia, juga mempunyai perwatakan budak jahat yang menjadi kelebihan untuknya menjadi jaguh unggul buat Malaysia.

Pengiktirafan daripada bekas juara dunia, Viktor Axelsen, yang menganggap pemain kelahiran Kedah itu sebagai seteru dalam pembikinan, turut menyerlahkan satu lagi sisi berbeza mengenai perseorangan negara itu bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Ia pasti pertarungan yang akan saya kenang dalam masa yang panjang kerana ia satu perlawanan yang sangat baik," kata jaguh dari Denmark itu.

Justeru, Zii Jia berbesar hati tetapi ia sama sekali tidak akan mengendurkan semangatnya yang berhasrat muncul jaguh utama dunia.

"Berita ini membuatkan saya bangga kerana bukan senang seorang bekas juara dunia memberi pujian.

"Ia memotivasikan saya untuk lebih bekerja keras," katanya.

Malah, jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, mengenal pasti sikap keras kepada anak buahnya itu boleh dimanfaatkan dalam merintis laluannya ke peringkat lebih tinggi.

"Kami perlukan karakternya itu dengan menerapkannya di bahagian yang sesuai," kata pembimbing kelahiran Indonesia berkenaan.

Ia diakui Zii Jia sendiri apabila berkata: "Dalam situasi perlawanan, saya akan cuba berjuang bersungguh-sungguh walaupun nampak mustahil.

"Saya mahu mara ke kelompok lima pemain terbaik dunia memandangkan saya kini sudah menempatkan diri dalam ranking 10 terbaik dunia.

"Saya dan Axelsen berkawan baik, saya harap pada masa depan kami boleh berikan aksi menarik seperti dalam Seluruh England.

"Dengan tonjolkan persembahan hebat, itulah caranya saya menghormati lawan."