Satu lagi episod kecederaan menimpa skuad perseorangan lelaki negara menuju penghujung musim, kali ini melibatkan juara remaja Asia, Leong Jun Hao.

Pada minggu lalu, Lee Zii Jia mengesahkan kecederaan otot lutut kanan yang menghalangnya daripada beraksi dalam Grand Prix (GP) Emas Masters Korea Selatan, bermula hari ini hingga Ahad depan.

Kini, Jun Hao juga berkongsi duka apabila terpaksa melupakan dua kejohanan, Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa di India.

Jun Hao kini perlu menjalani pemulihan sekurang-kurangnya selama tiga minggu bagi menangani kecederaan pangkal paha kirinya itu.

"Saya ada masalah di bahagian otot dan tendon. Jadi, saya perlu menarik diri daripada dua kejohanan di India.

"Saya mengalami kecederaan itu dalam pusingan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia. Masa itu saya tidak rasa sangat tetapi apabila masuk ke separuh akhir, saya berasa sangat sakit," katanya.

"Doktor menasihati saya agar berehat selama tiga minggu. Selepas itu jumpa semula doktor, kalau tidak sakit baru mula bermain."

Kecederaan itu sudah pasti memberi kesan kepada sebarang usaha Jun Hao untuk menambat hati ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, yang sedang dalam perancangan membentuk skuad Piala Thomas 2018.

"Saya berasa sangat kecewa kerana dua kejohanan itu boleh membantu saya naik dalam kedudukan ranking dunia.

"Sekarang saya mahu memulihkan kecederaan saya dahulu," ujarnya.