Tugas berat buat jurulatih perseorangan remaja lelaki negara, Indra Wijaya, untuk mempersiapkan barisan pemain yang bakal menggalas tugas menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Sepanyol, bulan depan.

Tiga pemain perseorangan lelaki yang akan menggalas cabaran negara adalah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Sim Fong Hau, namun wujud jurang yang cukup besar di antara ketiga-tiga pemain itu.

Berdasarkan ranking remaja dunia, Zii Jia berada di kedudukan kedua, manakala Jun Hao dan Fong Hau masing-masing berada di kedudukan ke-14 dan 66.

Justeru, Indra bertekad untuk mempertingkatkan lagi tempo latihan agar Jun Hao dan Fong Hau mampu berada dalam tahap yang sama seperti Zii Jia.

"Dia perlu memperbaiki lagi corak permainannya kerana jika menampilkan satu atau dua corak sahaja, lawan pastinya senang untuk mengetaui permainannya.

"Latihan telah dijalankan lebih dua bulan dan kami sedang berusaha untuk dia (Jun Hao dan Fong Hau) mempelbagaikan corak permainannya," kata Indra.

Zii Jia yang bakal buat penampilan kedua di Kejohanan Remaja Dunia, mengakui ranking membawa erti penting dalam membina keyakinan ketika bertanding.

Bagaimanapun, katanya, itu hanyalah perbandingan di atas kertas dan yakin rakan-rakan yang lain mampu memberikan impak ketika hari kejohanan kelak.

"Kami masih mempunyai dua minggu sebelum ke Perancis untuk kem latihan.

"Jadi, dalam tempoh dua minggu ini, saya berharap saya dan rakan sepasukan yang akan ke Kejohanan Remaja Dunia akan memberikan persembahan yang lebih lagi sebelum ke Sepanyol," jelas Zii Jia.