Kejayaan menjadi antara yang terbaik di rantau Asia tidak membuatkan pemain remaja negara, Leong Jun Hao, mendabik dada, sebaliknya menyedari ranjau masih panjang dalam kariernya untuk mencipta keputusan lebih memberangsangkan.

Jun Hao menjadi pemain Malaysia ketiga menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Asia selepas Zulfadli Zulkiffli di Lucknow pada 2011 dan Soo Teck Zhi di Kota Kinabalu pada 2013.

Dalam aksi final di Jakarta, semalam, dia menewaskan pemain China, Bai Yupeng, 21-6, 20-22, 21-17 untuk meraih gelaran sulung dalam kariernya.

Begitupun, pemain berusia 18 tahun itu menyedari ketiadaan pemain perseorangan dari Jepun memberikannya sedikit peluang untuk meraih kejayaan.

"Selepas ini, cabaran saya akan menjadi lebih sukar. Dalam perlawanan ini, saya tidak memberikan tekanan, hanya memberikan fokus kepada permainan saya dan gembira dengan kemenangan ini."

Jun Hao berkata demikian semasa ketibaan skuad remaja negara dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Secara keseluruhan, Malaysia memperoleh satu emas dan tiga gangsa, satu pulangan yang cukup memuaskan buat Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Frost, bagaimanapun, mengakui perlu ada langkah sesuai dalam pembentukan karier Jun Hao agar dia tidak mengalami proses terlalu perlahan seperti mana yang berlaku kepada Zulfadli serta Teck Zhi.

"Dia mengharungi sesi latihan dan program yang baik. Jun Hao telah mengharungi kejohanan ini dengan baik.

"Tetapi dia perlu melihat ke hadapan dan terus berusaha untuk meningkatkan mutu permainannya," kata Frost.