Permata baru perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, menyifatkan tahun ini sebagai sesuatu yang menakjubkan, namun tetap berasakan dia mempersia-siakan peluang bergelar juara remaja dunia, baru-baru ini.

Dia hampir mengulangi pencapaian Zulfadli Zulkifli pada 2011 kalau bukan kerana kesilapan sendiri.

Ketika menentang juara, Kunlavut Vitidsarn, dalam aksi final di Yogyakarta, Indonesia, Jun Hao sebenarnya berada di landasan untuk mencipta kebangkitan selepas tewas dalam set pertama.

Bagaimanapun, dalam set penentuan, Jun Hao gagal mengekalkan momentum untuk tewas 17-21, 21-15, 21-9.

"Saya rasa seperti kalah dengan diri sendiri," katanya.

"Saya agak tidak sabar dan terburu-buru menamatkan permainan manakala lawan saya bermain dengan baik. Selepas itu, saya tidak berasa selesa beraksi. Dari situ dia mendapat keyakinan, mengutip mata dan akhirnya menang."

Meskipun diangkat sebagai antara harapan baru masa depan badminton negara, Jun Hao sedar masih banyak yang perlu dilakukan agar dia tidak tenggelam seperti prospek terdahulu.

"Saya perlu berlatih dan membuat persediaan yang cukup untuk kejohanan yang saya akan disertai.

"Jurulatih, Datuk Misbun (Sidek) dan jurulatih lain turut membantu saya dalam latihan. Saya harap boleh menjadi seperti Datuk Lee (Chong Wei). Saya harap dapat naik dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia," katanya.