Legenda badminton negara, Rashid Sidek, berharap program Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah mampu melahirkan jaguh baru yang akan mengharumkam nama Malaysia pada masa akan datang.

Rashid, yang juga pengarah program berkenaan, berkata walaupun baru dilancarkan bulan lalu, Juara Tangkis dilihat mempunyai landasan yang tepat untuk melahirkan jaguh badminton negara.

"Sebab ia baru tahun pertama, kami belum tahu maklum balasnya macam mana.

"Tengok maca mana, kalau tahun ini tidak berapa bagus, kami akan baguskan lagi pada tahun depan.

"Program ini fokus kepada keseluruhan, perseorangan, beregu dan kami akan tengok bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk bertanding dengan pemain-pemain yang bagus dari negeri lain," katanya ketika ditemui dalam klinik kejurulatihan sempena program Jelajah Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sabah, Putatan, hari ini.

Program anjuran Akademi Badminton Sports Affairs itu membariskan lapan bekas pemain kebangsaan yang menjulang Piala Thomas pada 1992 dan Olimpian lain, iaitu Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Rashid menambah untuk menjadi seorang pemain badminton yang berjaya, ia memakan masa dan bergantung kepada individu berkenaan untuk terus melangkah ke depan.

"Memang lama, itu pun tidak tentu kerana ia bergantung kepada bakat, disiplin dan dedikasi.

"Ia juga bergantung kepada pemain itu sendiri, sejauh mana usaha yang akan mereka lakukan," katanya.

Program Juara Tangkis akan melabuhkan tirai di Sabah hari ini sebelum bersambung di Sarawak, Sabtu ini.

Sabah dan Sarawak merupakan antara enam lokasi yang terpilih dalam program yang diadakan di seluruh negara itu.